BM | EN | 中文

FAMA Johor rancang laksana e-wallet di semua pasar tani

Pasar-Tani-Fama-Johor.jpg

Gambar Ehsan FAMA Johor

Advertisement

BATU PAHAT, 22 OKT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor merancang untuk melaksanakan kaedah pembayaran tanpa tunai (e-wallet) di semua pasar tani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata kaedah berkenaan dijangka dilaksanakan penghujung tahun ini, bermula dengan Pasar Tani Datin Halimah, di sini, sebelum diperluas ke pasar tani lain.

Beliau berkata kaedah pembayaran itu juga akan diperkenal kepada semua usahawan FAMA di Johor termasuk mereka yang menjalankan perniagaan melalui program Agro Bazaar, kerana ia didapati sesuai dengan situasi penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Advertisement

“Kaedah e-wallet ini merupakan satu nilai tambah usahawan untuk memasarkan produk masing-masing, selain memudahkan pelanggan bagi urusan jual beli mereka tanpa menggunakan tunai,” katanya, lapor Bernama.

Samsolbari berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pemasaran Digital Melalui Agro Bazaar Online (ABO) 2020, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah FAMA Johor Shahrizan Sudiman dan Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas serta 50 usahawan FAMA di daerah ini.

Advertisement

Sementara itu, Samsolbari berkata ABO merupakan platform yang dilancarkan pada Dis 2015, bertujuan membantu meningkatkan jualan produk usahawan kecil dan sederhana serta memudahkan orang ramai dan pembeli mendapatkan produk tertentu.

“ABO diaktifkan kembali pertengahan Mac lepas berikutan penularan COVID-19 dan orang ramai menjadikan pembelian dalam talian sebagai platform utama mereka mendapatkan barangan.

“Sehingga kini, usahawan yang menggunakan kaedah ABO telah mencecah 400 orang di Johor dan hampir 6,000 di seluruh negara,” katanya.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top