BM | EN | 中文

FAM tangguh projek naturalisasi, kekal kendali skuad Harimau Malaya

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin-FAM.jpg
Advertisement

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menangguhkan sementara projek naturalisasi pemain baharu bagi pasukan kebangsaan, sebelum meneliti keperluan menyerapkan pemain asing dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, skuad Harimau Malaya akan kekal menggunakan khidmat pemain naturalisasi sedia ada untuk pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Asia 2023 bermula Februari tahun depan.

“Projek naturalisasi ditangguh sehingga keputusan dibuat selepas mendapat laporan Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Naturalisasi, pengurusan pasukan kebangsaan dan Pengarah Teknikal FAM (Datuk Ong Kim Swee). Namun, bagi pasukan Liga Malaysia tiada halangan menaturalisasikan pemain yang mencukupi syarat

Advertisement

“Penggunaan pemain berdarah campuran (heritage) akan dibuat mengikut keperluan kerana bukan mudah untuk mendapatkan pemain heritage ini, tak ramai yang boleh beraksi dengan baik,” katanya pada sidang akhbar dalam talian selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada hari ini.

Mengakui wujud perbezaan pendapat mengenai penggunaan pemain naturalisasi dalam kalangan penyokong, Hamidin berkata, jika badan induk itu berpandangan wujud keperluan untuk menaturalisasikan pemain baharu, ia hanya akan dibuat bagi kempen saingan seterusnya iaitu bagi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

FAM sebelum ini menaturalisasikan pemain kelahiran Brazil, Guilherme de Paula, 34, dan Liridon Krasniqi, 29, (Kosovo), manakala Mohamadou Sumareh, 26, (Gambia) mendapat kerakyatan menerusi usaha Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

Advertisement

Sementara itu, Hamidin berkata, FAM akan kekal mengendalikan pengurusan skuad Harimau Malaya, setelah pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan hasrat untuk mengendalikan pasukan berkenaan sebelum ini.

“Saya dah berjumpa dengan Tunku selepas pulang dari UAE (selepas Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun). Dalam pertemuan tersebut, kita sudah capai kata sepakat bahawa pasukan kebangsaan terus kekal di bawah FAM.

“Saya memahami perkara ini timbul mungkin kerana kekalahan kepada UAE (Emiriah Arab Bersatu) dan Vietnam. Tunku sebagai mantan presiden FAM, telah menyatakan beberapa perkara pada mesyuarat itu seperti pemilihan pemain, yang kita akan tambah baik pada panggilan seterusnya,” kata beliau.

Advertisement

Pada kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, prestasi skuad Harimau Malaya menerima kritikan apabila kalah 0-4 kepada UAE dan Vietnam 1-2, sebelum menewaskan Thailand 1-0 untuk menduduki tempat ketiga Kumpulan G dengan 12 mata.

Hamidin turut menjelaskan bahawa pihaknya terpaksa melupakan aksi persahabatan bagi skuad Harimau Malaya bagi jendela perlawanan FIFA bagi tempoh 30 Ogos hingga 7 September ini berikutan kekangan berkaitan peraturan kuarantin 14 hari.

Beliau berkata, FIFA hanya memberikan sembilan hari untuk mengadakan perlawanan antarabangsa bagi setiap jendela pada akhir Ogos, Oktober dan November, namun pihaknya sukar mengadakan perlawanan jika tidak mendapat kelonggaran kuarantin.

Advertisement

“Jika kita pergi ke sana pun kena kuarantin (selepas balik), kalau menjemput pasukan lain pun mereka kena menjalani kuarantin di sini, jadi kita dah miss window (terlepas jendela perlawanan) Ogos ini. Ada banyak pasukan seperti Palestin, Taiwan, Jordan dan Oman yang bersedia (aksi persahabatan) tapi isunya perjalanan,” katanya.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top