BM | EN | 中文

FAM optimis skuad kebangsaan diberi pelepasan ke luar negara

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin-FAM.jpg
Advertisement

PETALING JAYA, 13 JAN: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha memastikan pasukan bola sepak negara tetap beraksi pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan bersambung kembali pada Mac depan.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM akan berusaha mendapatkan pelepasan buat skuad bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe ke luar negara untuk meneruskan misi layak ke Piala Asia 2023 sekali gus mengelak berdepan risiko dikenakan penalti.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu menjelaskan ketika ini wujud cadangan supaya pusingan kelayakan itu ditangguhkan dan diadakan secara karnival pada Jun depan, namun beliau berkata perkara itu akan dimuktamadkan AFC dalam masa terdekat.

Advertisement

“Tetapi Jun itu tarikh akhir di mana FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) mengarahkan perlu dijalankan pertandingan. Kalau mana-mana pasukan tidak dapat keluar negara menyertai pusingan kelayakan itu akan terbatal mata (yang) dikumpul.

Saya akan pastikan pasukan negara mesti pergi untuk bermain dalam pusingan kelayakan itu. Kerajaan termasuk MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Ke-12 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Advertisement

Bagaimanapun, Hamidin berharap skuad kebangsaan bersedia jika saingan kelayakan itu dilangsungkan mengikut jadual asal yang menyaksikan Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dalam aksi Kumpulan G.

Sementara itu, beliau berkata persetujuan kelima-lima negara dalam kumpulan itu diperlukan untuk pusingan kelayakan itu dijalankan secara karnival pada Jun jika AFC memuktamadkan mengenai mekanisme pertandingan itu.

“Kalau lihat sekarang hanya Malaysia, Indonesia dan Thailand berdepan kesukaran berkaitan pergerakan keluar dan masuk negara manakala Vietnam dan UAE nampak okey. Jadi ia memerlukan persetujuan antara pasukan dalam sesebuah kumpulan itu,” katanya.

Advertisement

Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi pasukan kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30) dan Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk layak secara merit selepas kali terakhir beraksi pada edisi Piala Asia pada tahun 2007 yang menyaksikan Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand menjadi tuan rumah bersama kejohanan itu.

Selepas lima perlawanan kumpulan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G Vietnam yang mengumpul 11 mata sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

“Kita dah maklum dan hantar surat ke pihak MKN melalui KBS bulan lepas tentang perlawanan Mac nanti di mana kita perlu ke UAE dan balik semula serta memohon permit khas untuk kuarantin terus di hotel bersama pasukan pelawat dan pegawai FIFA terlibat. Ini telah dipersetujui secara lisan,” tambah beliau.

Advertisement

Terdahulu, Hamidin mengesahkan kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula dari 15 hingga 26 Jan ini dibatalkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk tempoh 14 hari bermula selepas pukul 1200 tengah malam tadi.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top