BM | EN | 中文

Exco Johor terima tawaran sertai Parti Bangsa Malaysia

Chong_Fat_Full_Adun_Pemanis.jpg

JOHOR BAHRU, 9 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis, Dr. Chong Fatt Full mengakui telah menerima undangan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yang baharu ditubuhkan.

Beliau yang juga Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri bagaimanapun memberitahu tiada keperluan dirinya menyertai parti itu kerana yakin dengan perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Ada tawaran diberi beberapa bulan lalu, sangat awal ketika itu. Saya ada berbincang dengan presiden parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berhubung perkara ini dan semua orang ada pandangan mereka sendiri.

“Ada yang kata idea tidak betul, ada yang kata masanya tidak betul. Tetapi bagi pihak saya, saya perlu memilih satu platform dan tidak bertukar-tukar.

“Lagipun pada 18 November lalu, saya baharu diberi watikah dan mengangkat sumpah untuk menyertai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) Bersatu, takkan saya nak keluar pula,” katanya, lapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pasaraya Lotus Setia Tropika, di sini semalam.

Tambahnya, beliau kekal dengan Bersatu kerana itu platform yang bersesuaian dengan ideologi politik yang dipegangnya.

“Saya tiada apa-apa permintaan sampingan, yang penting saya gembira dan saya dapat berkhidmat kepada rakyat melalui platform yang ada, itu sudah cukup.

“Tawaran diterima daripada lain-lain parti memang ada, mereka bertanya adakah saya berminat untuk menyertai, ayatnya mudah sahaja tiada tawaran lain, coklat pun tiada,” ujarnya.

Parti Bangsa Malaysia tersebut dikatakan telah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Oktober lalu dan didakwa bakal dianggotai bekas wakil rakyat daripada PKR.

Antara nama-nama yang dikaitkan termasuklah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Julau, Larry Soon @ Larry Sng; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top