BM | EN | 中文

Exco Johor terima aduan kilang langgar PKP, operasi tanpa kebenaran

Vidyananthan-Ramanadhan-1.jpg

R. Vidyananthan

Advertisement

JOHOR BAHRU, 16 APR: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata pihaknya ada menerima aduan melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bahawa wujud pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kilang, syarikat atau pengusaha tertentu di negeri ini.

Katanya antara kesalahan dilakukan mereka termasuk beroperasi tanpa mendapat surat kebenaran daripada pihak berkuasa dan pengusaha yang beroperasi bukan dikategorikan sebagai essential services (khidmat perlu).

Selain itu ada juga kilang, syarikat atau pengusaha yang melaksanakan pemberhentian kerja (secara tetap, sukarela, sementara dan pengurangan gaji) dalam tempoh PKP.

Advertisement

Antara kesalahan lain dilakukan termasuk tidak/enggan membayar gaji dalam tempoh PKP, membuat potongan gaji, penolakan gaji, menolak dan memaksa pekerja mengambil cuti tahunan (annual leave) dan cuti tanpa gaji (unpaid leave).

“Selain itu ada juga majikan yang gagal mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa (MITI, KKM, JKKP dan KPDNKK) dalam tempoh PKP,” kata Vidyananthan dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu JTK Johor juga menjalankan sesi mediasi dalam membantu 193 majikan yang telah mengemukakan borang permohonan pemberhentian (Borang PK) yang melibatkan 5,026 orang pekerja.

Advertisement

“Perangkaan ini dijangka akan terus meningkat seiring dengan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 (15 – 28 April 2020),” katanya.

Tambah beliau, JTK Johor adalah agensi penguatkuasaan yang telah diberi kuasa di bawah Seksyen 3 dan 18(1)(F) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Justeru katanya, sebarang pelanggaran boleh diambil tindakan kepada mana-mana kilang, syarikat atau pengusaha yang menjalankan operasi perniagaan tanpa memperoleh kebenaran jabatan, agensi dan badan kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berautoriti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top