MUAR, 6 MEI: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor perlu cakna dan mengambil maklum pandangan rakyat berhubung penangguhan urusan pernikahan umat Islam di negeri ini.
Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Johor, Nor Hayati Bachok berkata, rata-ratanya memberikan pandangan agar isu penangguhan pernikahan itu dapat diselesaikan segera oleh JAINJ.
“Saya mengharapkan Exco Agama negeri Johor mengambil maklum permasalahan ini agar perkara berbangkit ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Soal penjarakan sosial yang disarankan oleh kerajaan perlu dipatuhi namun JAINJ harus mengeluarkan kaedah bagi memudahkan urusan ini berlangsung, tidaklah tertangguh seperti hari ini.
“Kita tidak mahu perkara seperti penzinaan, maksiat dan sebagainya berlaku justeru memudahkan cara pasangan tersebut bernikah.
“Ini adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memikirkan bersama,” katanya ketika dihubungi.
Beliau merujuk kepada pandangan orang ramai di ruangan komen laman Facebook Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang mempersoalkan penangguhan urusan nikah di negeri ini, berbanding kelonggaran di negeri lain.
Sehingga kini, muatnaik penerangan Q&A Nikah (SIri 1) yang dikirim di laman Facebook JAINJ itu mendapat hampir 80 kongsian dan lebih 300 komen.
Nor Hayati yang merupakan Adun Maharani berkata, negeri-negeri lain telah membenarkan penikahan tersebut dapat dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Tambahnya, tindakan progresif negeri-negeri lain menggambarkan bahawa kesediaan mereka untuk mempermudahkan proses pernikahan agar menjadi rujukan di Johor.
“Sebelum ini Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menjalankan proses pernikahan secara atas talian dan kaedah ini juga boleh diikuti oleh Johor.
“Negeri-negeri lain seperti Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pun telah membolehkan pasangan yang ingin berkahwin melangsungkan proses akad nikah mengikut SOP seperti had orang di dalam satu kawasan seperti pejabat kadi, had jarak dan sebagainya.
“Saya menyarankan agar kerajaan negeri Johor serta Exco Agama memikirkan untuk memberi kelonggaran kepada proses nikah di negeri ini,” katanya lagi.
Johorkini