SABAK BERNAM, 7 MEI: Enam wanita diantara 79 individu menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Sabak Bernam.
Majlis penyampaian watikah disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Borhan Aman Shah di Dewan Seri Sekinchan hari ini.
Borhan berkata pengerusi MPKK yang juga ketua kampung melalui proses penilaian ketat termasuk temu duga sebelum terpilih menggalas peranan tersebut.
“Saya menggariskan perkara penting sebagai pengerusi MPKK iaitu sentiasa berpakaian kemas, kemahiran pengucapan awam serta mampu mentadbir dengan baik,” katanya, lapor SelangorKini.
Beliau turut bersedia mencadangkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menaikkan elaun bulanan pengerusi MPKK berjumlah RM1,200 kepada RM1,500 sekiranya melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Kerajaan Negeri ada kemampuan untuk menaikkan elaun pengerusi MPKK, kita juga ada sediakan Skim Insurans Berkelompok.
“Malah sejumlah RM1,000 diberikan kepada pemimpin masyarakat negeri ini melalui Bantuan Khas Kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Terdahulu Borhan turut menyampaikan bantuan sejumlah RM325,000 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada lima masjid di daerah Sabak Bernam.
Johorkini