MUAR, 13 DIS: Enam daripada sembilan pertubuhan yang dikesan menghadiri majlis peringatan ulangtahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang, Selangor awal bulan ini disahkan sebagai pertubuhan haram.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu telah disahkan pihaknya berdasarkan siasatan dibuat.
“Laporan yang saya terima mereka tidak berdaftar. Enam adalah pertubuhan haram manakala tiga yang lain berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Polis kini sedang meneliti mengapa pertubuhan yang terbabit menganjurkan majlis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh, di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pagoh, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberitahu, apa yang penting untuk pihaknya ambil kira adalah mengapa mereka terlibat dalam aktiviti yang dikatakan ada kaitan dengan komunis.
“Apakah ini satu usaha menunjukkan ada minat untuk membawa semula ideologi lama. Hasil siasatan akan diumumkan kepada khalayak, jika terbukti ada kaitan (ideologi komunis), kita perlu ambil tindakan tegas.
“Kita ada sistem demokrasi berparlimen yang sudah berjalan dengan baik dan aman selama 60 tahun, ideologi komunis sepatutnya tidak wujud lagi di Malaysia kerana Parti Komunis Malaysia (PKM) sudah diharamkan,” ujarnya lanjut.
Pada 1 Disember lalu, sebuah portal berita melaporkan satu perhimpunan dipercayai bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis 1989.
JohorKini