BM | EN | 中文

Enam mayat dipercayai migran Indonesia ditemukan di pesisir pantai dekat Bandar Penawar

al-fatihah-takziah-innalillah.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 SEPT: Enam mayat terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki yang dipercayai pendatang tanpa izin warganegara Indonesia, ditemukan di pesisir Pantai Teluk C, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata kesemua mangsa, yang dipercayai berusia antara 31 hingga 46 tahun itu, dipercayai memasuki Malaysia melalui jalan laut dan ditemukan orang awam di pesisir pantai itu pada 9.40 pagi semalam.

“Kesemua mangsa dipercayai lemas apabila turun dari bot pancung disebabkan ombak besar.

Advertisement

“Pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia seterusnya berjaya menangkap enam lagi lelaki dewasa warganegara Indonesia, dipercayai daripada kumpulan yang sama iaitu lebih kurang satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan, di sini, semalam.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa ramai yang berada dalam bot berkenaan.

Beliau berkata kesemua mayat mangsa yang lemas itu, telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, di sini, untuk dibedah siasat.

Advertisement

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala enam yang ditahan itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top