BM | EN | 中文

Enam lagi PATI cuba masuk melalui Pontian ditahan

Enam-lagi-PATI-cuba-masuk-melalui-Pontian-ditahan.jpg

PONTIAN, 20 JAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan enam lagi PATI yang cuba memasuki negara ini secara haram menggunakan laluan laut di perairan Tanjung Piai, di sini pada Selasa.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua PATI itu ditahan di kedudukan 3.7 batu nautika barat daya perairan Tanjung Piai, di sini kira-kira jam 10.45 malam.

“Mereka yang ditahan merupakan tiga lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 23 hingga 36 tahun dipercayai menaiki bot dari Tanjung Balai, Karimun, Indonesia kira-kira jam 7.30 malam.

“Penahanan dibuat apabila bot ronda Maritim Malaysia mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan sebelum salah satu bot tersebut berpatah balik dengan memecut laju menuju ke perairan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bot kayu dinaiki PATI yang dtinggalkan tekong ketika menyedari kehadiran pihak berkuasa di perairan Tanjung Piai, Pontian pada Selasa.
Nurul Hizam berkata, kesemua PATI yang ditahan ditemui di dalam bot kayu berenjin 40 kuasa kuda yang ditinggalkan.

“Bot ini kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai manakala kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana cuba memasuki perairan Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan pada Selasa, sebuah bot fiber dilaporkan karam di perairan Pulau Pisang, di sini yang mengorbankan enam PATI manakala seorang kritikal.

Dilaporkan bot membawa PATI dari Batam, Indonesia itu disyaki akan transit sementara di daerah ini sebelum kesemua mereka dibawa menaiki kenderaan darat untuk ke Kuala Lumpur.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top