BM | EN | 中文

Enam DUN Selangor buka pusat vaksin jayakan dos penggalak Selvax

Selcare_Selangor_Care.jpg

SHAH ALAM, 15 DIS: Enam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bakal membuka pusat pemberian vaksin (PPV) bagi menjayakan Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster, kata Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.

DUN terlibat ialah Seri Kembangan, Taman Templer, Rawang, Bandar Utama, Balakong dan Tanjong Sepat.

Kata Dr Siti Mariah, inisiatif itu sebagai langkah memudahkan penduduk mengambil suntikan dos ketiga terutama di kawasan luar bandar.

“Ramai Ahli Dewan Negeri buat permohonan terutama kawasan yang majoriti penduduknya Cina. Macam Tanjung Sepat dan Taman Templer tak ada Klinik Selcare jadi perlu buat PPV. Mereka sanggup keluarkan peruntukan.

“Bagaimanapun tarikh masih belum ditentukan. Kita akan umum menerusi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat). Walaupun PPV dibuka tetap kena daftar aplikasi itu,” katanya, lapor SelangorKini.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Dos Penggalak Langkah Lindungi Diri yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor semalam.

Kerajaan Selangor mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster mulai 8 Disember.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi SELangkah.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top