BM | EN | 中文

Empat pemain Thailand dilarang beraksi di STL

sepak-takraw-copy.jpg

Gambar Ehsan The Culture Trip

KUALA LUMPUR, 28 DIS: PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF) menasihati empat pemain sepak takraw dari Thailand supaya tidak menyertai Liga Sepak Takraw (STL) yang bakal dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), pada Januari 2022.

Menurut Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader kesemua pemain berkenaan yang bakal bersama Perak Bison, Johor Tigris, Penang Black Panthers dan Bomba Fighters pada saingan STL kali ini perlu sedar bahawa PSM selaku penganjur STL sudah disingkirkan dan bukan lagi merupakan sebagai ahli naungan ASTAF.

Justeru katanya, jika dapati berlaku pelanggaran terhadap penyingkiran berkenaan, kesemua pemain boleh dikenakan tindakan disiplin.

“PSM bukan lagi ahli gabungan ASTAF. Oleh itu, apa saja komitmen PSM berkaitan luar negara membabitkan penyertaan kejohanan, penggunaan pengadil ASTAF atau ISTAF (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) mahu pun penggunaan pemain luar negara dari negara gabungan ASTAF untuk sebarang aktiviti atau program sepak takraw di Malaysia adalah tidak dibenarkan.

“Sehubungan itu ASTAF juga tidak teragak untuk mengambil tindakan tegas terhadap Persatuan Sepaktakraw Thailand (TTA), pemain dan juga pihak broker yang membekalkan pemain jika didapati mereka terlibat secara sah pada kejohanan STL 2022.

“Walaupun Thailand sebuah negara yang hebat dalam sukan sepak takraw di persada dunia tetapi sekiranya melanggar undang-undang ASTAF sudah pasti ia tidak terlepas dari tindakan pihak ASTAF,” katanya lapor Sinar Harian.

Untuk rekod, pemain import berkenaan melibatkan Anuwat Sombatdee yang bakal beraksi dengan Perak Bison, Swatbanchan Seekhwa (Johor Tigris), Aekasit Naphom (Penang Black Panthers) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters) pada STL kali ini.

Abdul Halim dalam kenyataan Ahad lalu berkata, pemain luar yang menyertai STL juga boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk penggantungan.

Malah katanya, mereka (pemain luar) juga boleh didenda secara maksimum sehingga RM41,951 (AS$10,000) kerana mengingkari peraturan tersebut.

“Sebagai badan induk sepak takraw Asia, ASTAF mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tegas terhadap persatuan negeri di Malaysia yang menggunakan khidmat pemain luar negara kerana sehingga kini tiada lagi badan sepak takraw di Malaysia yang terlibat secara langsung dengan ASTAF.

“Jadi, lebih baik sentiasa berhati-hati dalam apa juga tindakan supaya ia tidak mengundang tindakan tegas ASTAF,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top