BM | EN | 中文

Empat pegawai kastam di Johor dituduh lepaskan dua kontena rokok

4-pegawai-kastam-tak-mengaku-salah-lepaskan-dua-kontena-rokok.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 23 APR: Empat pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas dua pertuduhan secara bersama melepaskan dua kontena berisi rokok, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Faizulhidi Abd Manan, 33; Nazril Md Yusoof, 41; Mohd Zauf’an Mohd Yusof, 42, dan Muhammad Najib Mohd Roby, 34, membuat pengakuan di hadapan dua hakim berbeza, iaitu Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di kamar mahkamah berasingan.

Berdasarkan dua kertas pertuduhan itu, keempat-empat mereka didakwa mencapai niat bersama untuk membebaskan barangan dagangan, iaitu rokok dalam dua kontena bernombor EISU9345488 dan TGHU6995609 yang disita dengan sempurna.

Advertisement

Kedua-dua kesalahan dilakukan antara 2.41 pagi hingga 6.30 petang pada 18 November 2020 di Pelabuhan Pasir Gudang, Mukim Plentong.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 136(b) Akta Kastam 1967, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 136(i) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM14,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Advertisement

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Khairul Nizam Abu Bakar, manakala semua tertuduh diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Ahmad Khairudin Khalid.

Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 20 Jun ini.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top