BM | EN | 中文

Empat model akan diguna pakai tangani masalah penagihan dadah – AADK

AADK.png
Advertisement

PORT DICKSON, 20 DIS: Empat model utama akan diguna pakai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai panduan dalam menangani masalah penagihan dadah di 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata empat model berkenaan ialah model Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 24 KBT, Perkampungan Nelayan (23), Felda (10) dan Umum (98) yang diperoleh berdasarkan 12 projek rintis yang dijalankan agensi itu sejak 1 Julai tahun lepas.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan 155 KBT itu, 136 kawasan adalah di Semenanjung Malaysia, sementara 12 di Sabah dan tujuh di Sarawak.

Advertisement

“Dalam model berkenaan akan ada jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan yang akan melaksanakan program kepada bekas penagih dadah (klien) termasuklah program kelompok sokong bantu, jurulatih pemulihan dan psiko pendidikan selain menggerakkan komuniti untuk amal gaya hidup sihat,” katanya selepas Mesyuarat Penilaian Program Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penagihan Dadah, Substam dan Pelencongan Sosial di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil daripada 12 projek rintis yang bermula sebagai kawasan merah itu menunjukkan kesemua lokasi telah bertukar menjadi kawasan hijau kecuali Petaling Jaya, Selangor; Pulau Langkawi, Kedah dan Pengkalan Chepa, Kelantan yang bertambah baik ke tahap kuning sahaja.

“Indikator pelencongan sosial telah menunjukkan trend yang positif di semua kawasan yang mana berlaku penurunan terhadap kes jenayah sebanyak 75.9 peratus, aduan dadah menurun lima peratus dan peningkatan 175 peratus jumlah klien menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela,” katanya.

Advertisement

Susulan itu, Zulkifli berkata AADK telah membangunkan satu instrumen untuk mengukur penghijauan kawasan berisiko tinggi penagihan dadah berdasarkan tiga objektif yang dijadikan sebagai indikator.

“Ia termasuklah bagi mengurangkan penagih baharu yang dikesan, meningkatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan serta meningkatkan kerjasama komuniti pelbagai agensi pelaksana,” katanya.

AADK sebelum ini telah melaksanakan 12 projek rintis yang pertama kali diadakan dengan kerjasama 10 kementerian dan 15 agensi kerajaan yang berkaitan dalam satu operasi bersepadu termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri serta Jabatan Belia dan Sukan.

Advertisement

Projek rintis itu dilaksanakan di Petaling, Sungai Besar dan Felda Gugusan Hulu Selangor di Selangor; Projek Perumahan Rakyat Sungai Bonus, Kuala Lumpur; Felda Keratong 3, Pahang; Kuala Dungun, Terengganu; Felda Lubuk Merbau, Kuala Kedah dan Langkawi di Kedah; Pengkalan Chepa, Kelantan serta Perling dan Parit Sulong di Johor.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top