BM | EN | 中文

Empat ditahan terlibat penipuan pelaburan ‘Goldmine International’

polis-dadah.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Polis menahan empat individu termasuk seorang dalang utama semalam kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan dikenali sebagai ‘Goldmine International’ yang melibatkan kerugian pelabur sebanyak RM930,920.

Kesemua suspek terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki tempatan itu berumur lingkungan 30 hingga 60 tahun, ditahan di sekitar Kedah, Selangor dan ibu negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata modus operandi sindiket ini menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud dengan pelbagai pakej.

Advertisement

Beliau berkata antaranya, pakej pertama US$100 (RM420) dengan pulangan 10 peratus (keuntungan RM42/minggu tanpa had) dan pakej kedua US$500 (RM2,100) dengan pulangan 10 peratus (keuntungan RM210/minggu tanpa had).

“Pelabur akan diberikan satu pautan portal untuk menjana pelaburan ini tetapi pautan berkenaan telah ditutup,” katanya dalam sidang media JSJK di sini semalam.

Selain itu, sindiket itu juga menawarkan komisen tinggi kepada ejen melalui empat peringkat yang memperuntukkan komisen antara dua hingga 10 peratus bagi setiap pelanggan.

Advertisement

“Semua wang pelaburan itu dimasukkan ke dalam lima akaun membabitkan akaun syarikat dan persendirian. Hasil tangkapan empat suspek berkenaan, polis merampas tiga telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM13,600, beberapa kad ATM serta satu fail mengandungi pelbagai dokumen dipercayai berkaitan pelaburan sindiket berkenaan,” katanya.

Zainuddin berkata semakan mendapati seorang lelaki yang disyaki dalang sindiket itu pernah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Alor Gajah, Melaka pada 2017 kerana melakukan penipuan pelaburan ‘Crude Palm Oil’ (CPO).

Beliau berkata pada masa sama, tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 sudah diambil terhadap empat suspek itu.

Advertisement

“Oleh itu, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang masih bebas dikenali Norafindi Daim, 48, beralamat terakhir di Jalan Naib Long, Tangkak, Johor. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Muhammad Hateem Ayub Khan di talian 018-914479 untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zainuddin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Bernama

Advertisement

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top