BM | EN | 中文

Empat ditahan di Plentong, tawar pekerjaan tak wujud di kapal persiaran

polis-jenayah.jpg

JOHOR BAHRU, 9 SEPT: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita di sebuah pasar raya di Plentong, di sini semalam bagi membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dengan penipuan menawarkan peluang pekerjaan di kapal persiaran.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata kesemua rakyat tempatan berumur 30-an terbabit ditahan pada kira-kira 12.30 tengah hari semasa sedang mengendalikan temu duga bagi penawaran pekerjaan yang tidak wujud itu.

“Mereka menawarkan peluang pekerjaan di kapal persiaran bermula 15 Sept ini di Terminal Feri Pasir Gudang. Pemohon yang berminat dikehendaki membuat bayaran RM250 ke dalam akaun milik sebuah syarikat milik seorang daripada suspek,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ismail berkata pihaknya turut merampas beberapa dokumen termasuk dokumen permohonan pekerjaan dan Notis Perkapalan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia.

Katanya pihak Terminal Feri Pasir Gudang telah mengesahkan tiada operator perkapalan di terminal itu yang menawarkan pekerjaan di kapal persiaran buat masa ini atau pada 15 Sept.

Ismail berkata, aktiviti turun atau naik kapal persiaran juga tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana-mana pelabuhan atau terminal feri.

Hasil siasatan lanjut, katanya polis percaya kesemua suspek sudah menipu sekurang-kurangnya 30 pemohon yang menyatakan minat terhadap pekerjaan tersebut.

Kesemua suspek akan reman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

“Polis, sehubungan itu ingin menyeru kepada mana-mana individu yang telah berurusan dengan suspek untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top