JOHOR BAHRU, 28 JUL: Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, terhadap pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.
Kesemua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Tertuduh, Konstabel Mohamad Zulhisham Zulkafli, 30, Koperal Mohd Shahir Ahmad Dewi, 33, Koperal Muhammad Azim Muhammad Adnan, 34 serta Lans Koperal Mohamad Syukor Gulam Mohamed, 30, didakwa bersama-sama secara rasuah meminta suapan wang tunai RM7,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan melepaskan lelaki itu dan seorang rakannya yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.
Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan terbabit di dalam sebuah kereta, semasa dalam perjalanan dari Balai Polis Kangkar Pulai ke Balai Polis Gelang Patah, di sini, kira-kira 11 malam, 10 April 2018.
Mohd Zulhisham, Mohd Shahir, Muhammad Azim dan Mohamad Syukor turut dituduh bersama-sama secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,600 daripada lelaki sama sebagai dorongan sama, di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru Kangkar Pulai, di sini, pada kira-kira 4 pagi, 11 April 2018.
Sementara itu, Mohd Shahir turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu secara rasuah memperoleh suapan wang tunai RM1,400 daripada lelaki sama sebagai dorongan sama, di hadapan sebuah restoran di Taman Sri Pulai, di sini, kira-kira 12.15 malam, 12 April 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Yunus Mohamed manakala Mohd Zulhisham, Muhammad Azim dan Mohamad Syukor diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Mohd Shahir pula diwakili peguam Nur Shahid Abd Malik.
Hakim Kamarudin membenarkan kesemua mereka diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 27 Ogos depan untuk sebutan semula.
Kamarudin turut memerintahkan mereka melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bernama