BM | EN | 中文

Elemen Rukun Negara terus diterap dalam misi dan visi UTM

UTM-Universiti-Teknologi-Malaysia.png

JOHOR BAHRU, 11 SEPT: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan terus menerapkan elemen Rukun Negara dalam misi dan visinya yang baharu, pada 2025.

Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM Prof Madya Dr Zaleha Abdullah berkata, hal ini kerana Rukun Negara perlu sentiasa menjadi keutamaan, selain dihayati dan dipraktikkan.

“Sebenarnya misi dan visi kita selaras dengan Rukun Negara, malah untuk penambahbaikan (visi dan misi) kita bagi pelan perancangan 2025 juga, akan melihat semula Rukun Negara itu untuk diterapkan sebaiknya kepada misi dan visi yang baharu.

“Kalau mahu kata sama ada universiti amalkan (Rukun Negara) atau tidak, memang kita mengamalkannya, tetapi selepas ini kita kena beri penekanan lagi daripada apa yang kita buat sebelum ini dan sebarkan Rukun Negara yang dipraktikkan selama ini,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jerayawara Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah UTM, semalam.

Turut hadir, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM Noraziah Sharuddin, Ketua Biro Bernama Johor Nor Baizura Basri dan Wakil Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara Hasnita Ibrahim.

Pada majlis itu turut disampaikan gegantung Rukun Negara, penanda buku ikrar Rukun Negara, pelitup muka, serta buku nota rukun negara kepada wakil UTM.

Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia menerusi Bernama, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara itu diadakan, bagi menyemarakkan sambutan dan memantapkan penghayatan Rukun Negara, dalam kalangan rakyat Malaysia.

Jerayawara itu yang telah bermula pada 24 Ogos lepas dan akan berakhir pada 15 Sept dengan 33 lokasi terpilih, di 11 buah negeri seluruh negara.

Johorkini

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top