JOHOR BAHRU, 22 DIS: Pengumuman kenaikan elaun Ahli Majlis PBT oleh Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar telah mendapat respon positif dari Ahli Majlis di negeri ini.
Menurut Ahli Majlis Perbandaran Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri amat bertepatan dan ia dibuat dengan mengira permasalahan yang dialami oleh kebanyakan Ahli Majlis.
Katanya, kerajaan negeri hari ini dilihat terus berusaha menjaga kebajikan banyak pihak dan ia merupakan suatu perkara yang baik.
“Ada di kalangan kami yang tidak berkemampuan dari segi kos untuk mengendalikan kerja-kerja sebagai Ahli Majlis dan tindakan kerajaan amat tepat.
“Kami sebagai Ahli Majlis pun bukan mengambil elaun tersebut dan dijadikan sebagai pendapatan malah elaun tersebut adalah dari rakyat kepada rakyat.
“Kerja-kerja kebajikan kepada rakyat akan mampu ditingkatkan kerana elaun tersebut akan membantu kos yang bakal dikeluarkan oleh setiap Ahli Majlis. Makin banyak kami dapat, makin banyak juga rakyat dapat,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Daerah Simpang Renggam, Ahmad Maulana Stat pula mengucapkan penghargaan kepada kerajaan kerana memahami nasib Ahli Majlis.
Ujarnya, kerajaan peka akan nasib Ahli Majlis yang kadang kala terpaksa mengeluarkan duit mereka sendiri untuk membiayai sebarang kos yang berlebihan.
“Kita nak bantu rakyat dan dalam pada masa yang sama kita juga kekurangan dari segi kewangan. Jadi apa yang kerajaan buat ini amatlah baik.
“Kini sudah tiba masanya untuk kita menggerakkan lagi kerja membantu rakyat dengan pelbagai cara dan ini komitmen yang kita boleh bagi.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan kerana menaikkan elaun Ahli Majlis ini dan sudah pastinya kita akan teruskan perkhidmatan kepada rakyat kerana ia merupakan tanggungjawab kita sebagai Ahli Majlis,” katanya lagi.
Johorkini