BM | EN | 中文

Eksport bulanan RM500 juta ke Singapura, Johor rancang perkasa pertanian dan industri makanan

sawah-johor-Gunung-Ledang.jpg

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU, 19 OGOS: Johor mengeksport bahan-bahan makanan ke Singapura dengan nilai antara RM400 hingga RM500 juta pada setiap bulan.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bahan-bahan makanan dieksport ke republik tersebut semuanya mempunyai kualiti yang tinggi sekali gus menepati standard dan piawaian antarabangsa.

“Eksport ini adalah satu perkara yang kita harus lihat dengan serius iaitu perlu adanya kesedaran di semua peringkat pengusaha (untuk meningkatkan hasil) termasuk dasar kerajaan yang (menyokong) industri berkaitan makanan,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Padanan Perniagaan di Antara Koperasi-koperasi, Venture Capital, GLC dan Bank-bank Tempatan di Malaysia Dengan Konsortium Penternak Ayam Muslim Berhad (KPAM) di Hotel Thistle di sini semalam.

Hasni berkata, sehubungan itu kerajaan Johor akan mengkaji semula dasar-dasar sedia ada dalam usaha memperkasakan sektor pertanian yang dilihat mempunyai potensi besar di negeri ini.

Jelas beliau, pihaknya juga akan melihat perkara-perkara yang dapat menyegerakan proses sekali gus membolehkan rakyat di negeri ini dapat melibatkan diri dalam sektor pertanian.

“Saya akan mengajak semua jabatan serta agensi terlibat dalam sektor pertanian bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Samsolbari Jamali bagi melihat cara dan bagaimana kita dapat memodenkan petani-petani kita.

“Pandemik koronavirus (Covid-19) ada hikmahnya tersendiri apabila bilangan mereka yang terlibat dalam sektor pertanian menggalakkan,” katanya yang memberitahu bahan makanan terus dieksport ke Singapura walaupun sempadan Malaysia-Singapura ditutup sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyambut baik usaha konsortium menjalinkan hubungan dengan mana-mana pihak berkepentingan termasuk institusi perbankan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Usaha itu katanya, dapat membantu kerajaan negeri menjayakan Program Jaminan Bekalan Makanan yang bukan sahaja fokusnya terhadap aspek kualiti pengeluarannya tetapi juga memastikan bekalan bahan makanan mencukupi.

“Kita hendakkan supaya keluaran barangan makanan ini mempunyai harga dan kadar nilai yang sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan ekonomi masyarakat di negeri Johor,” katanya.

Pada masa sama menurut beliau, Johor ketika ini adalah pengeluar buah-buahan yang pertama atau kedua terbesar di Malaysia.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top