EKONOMI DIGITAL BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT
Gambar Ehsan Digital News Asia

EKONOMI DIGITAL BANTU TINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT

Oleh: Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim

Belanjawan 2020 yang dibentangkan 11 Oktober 2019 lalu telah menyasarkan untuk memenuhi tuntutan kemakmuran bersama. Kemakmuran ini akan menjamin kesejahteraan hidup rakyat pelbagai peringkat.

Dalam sektor ekonomi, ia tidak lagi mempunyai batas perkauman namun daya usaha dan inovasi kini menjadi asas untuk rakyat terus maju.

Oleh itu, sempadan kejayaan adalah kegigihan berusaha dan penguasaan ilmu untuk menjadi lebih kreatif dalam bidang yang diceburi.

Walaubagaimanapun, inisiatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan dengan lebih saksama untuk memberi rangsangan terhadap keberdayaan sumber merentas sempadan kaum. Terdapat pelbagai peluang telah digariskan dalam belanjawan 2020 untuk kehidupan rakyat lebih sejahtera.

Dari perkara itu, Ekonomi Digital mampu menjadi satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan rakyat mempunyai peluang untuk bersama dalam menerokai peluang baharu.

Ini selaras dengan perkembangan Revolusi Industri ke Empat (4IR). Tranformasi Digital dan Pendigitalan Sumber perlu diberi insentif bagi memastikan Ekonomi Digital boleh digerakkan.

Oleh itu, naik taraf kemudahan capaian jalur lebar (internet) adalah satu usaha yang dilihat signifikan.

Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) adalah usaha yang harus diberi perhargaan yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia. Ini menjadi pemangkin kepada pembangungan industri kreatif yang sedang berkembang pesat.

Pelbagai geran padanan juga diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan semua pihak. Dalam perkembangan tersebut juga, kerajaan juga beri perhatian kepada pekerjaan-pekerjaan yang bakal hilang dan pekerjaan baharu yang bakal tercipta akibat Revolusi Industri ke Empat.

Inisiatif untuk memberi latihan semula supaya bakat rakyat Malaysia boleh disepadankan dengan keperluan semasa industri perlu diperkemaskan.

Disamping itu juga, budaya keusahawanan juga perlu disemai supaya Malaysia boleh menjadi negara pengeluar produk dan perkhidmatan.

Dengan senario semasa tersebut, Perkongsian Ekonomi menjadi satu pilihan kebanyakan industri untuk berkembang. Perkongsian Ekonomi membawa maksud budaya berkongsi sumber untuk memperoleh sumber pendapatan.

Perkara ini telah berlaku dan sedang terus meningkat dengan inovasi model perniagaan yang lebih menarik. Sebagai contoh Facebook, Alibaba, Lazada, Grab, Food Panda dan pelbagai lagi aplikasi, yang mana berkongsi sumber untuk mendapat pendapatan.

Model ini memberi peluang yang lebih luas, fleksibel dan lebih bersifat peribadi untuk menjana pendapatan. Dengan perkembangan ini, sudah tentu inisiatif yang digariskan dalam belanjawan perlu dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia.

Disamping itu, juga beberapa dasar kerajaan perlu melalui perubahan yang menyeluruh supaya Perkongsian Ekonomi membawa kepada kemakmuran bersama. Ini telah memberi peluang kepada individu untuk menjadi orang yang lebih kreatif.

Mengoptimumkan sumber dan koloberasi sumber. Ini juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengambil inisiatif untuk melakukan pelbagai kerja dalam sesuatu masa. Melakukan kerja separuh masa selepas waktu bekerja. Melakukan kerja sambilan dengan kepakaran yang ada.

E-Usahawan dan E-Rezeki merupakan usaha kerajaan yang perlu diperluaskan supaya rakyat mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan. Ini adalah berkembangan baharu yang dinamakan sebagai Gig Ekonomi.

Model ini boleh diperluaskan kepada suri rumah yang bakal membantu meningkatkan sumber pendapatan. Disamping itu, para belia boleh meningkatkan daya usaha untuk menjadi usahawan melalui peluang perubahan yang sedang berlaku.

Atas perkembangan tersebut, belanjawan 2020 yang telah dibentangkan oleh kerajaan Malaysia merangkumi usaha untuk memperbaharui model ekonomi supaya lebih sejahtera dan memberi jaminan kemakmuran bersama.

Pelbagai initiatif diperkenalkan untuk memastikan inovasi berlaku terhadap ekonomi Malaysia dan menjadi pemangkin ekonomi yang lebih inklusif memenuhi harapan rakyat.

Johorkini

Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim bertugas di Media and Game Innovation Center of Excellence (MaGICX), Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Beliau juga merupakan anggota Lembaga Pengarah Digital Johor

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )