JOHOR BAHRU, 23 JUN: Pakatan Harapan (PH) Johor sedia menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kepentingan rakyat terutamanya mengenai pelan tindakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri.
Perkara itu dinyatakan PH Johor susulan titah Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar hari ini yang telah memperkenan supaya Dewan Negeri bersidang pada 12 Ogos ini.
“PH Johor turut menjunjung kasih atas perkenan Tuanku Sultan Johor untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.
“PH Johor juga menginsafi dan konsisten dengan pandangan bahawa Dewan Negeri dan Parlimen perlu bersidang dengan segera untuk menjalankan serta peranannya lebih-lebih lagi pada saat rakyat berhadapan kesukaran serta kekecewaan dalam berhadapan masalah penularan Covid-19 yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.
“Pada masa yang sama, prestasi vaksinasi untuk rakyat di negeri Johor setakat ini juga amat membimbangkan iaitu pada kadar 14.6 peratus sahaja.
“Sekali lagi, PH Johor menjunjung kasih dan merafak sembah titah serta keperihatinan yang dizahirkan Sultan Johor,” tambah kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Ketua Pembangkang DUN Johor. Aminolhuda Hassan, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong.
Johorkini