ISKANDAR PUTERI, 22 NOV: Malaysia setakat ini hanya mewartakan sebanyak 4.3 peratus sahaja perairan negara sebagai kawasan perlindungan marin, Dewan Undangan Negeri Johor hari ini diberitahu.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali berkata Malaysia sebagai negara ahli kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Konvensyen Kepelbagaian Biologi, perlu mewartakan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada perairan negara sebagai kawasan perlindungan marin.
Merujuk kepada pewartaan di kepulauan Mersing, beliau berkata terdapat pewartaan tambahan perairan di kepulauan tersebut iaitu di tujuh buah pulau dan empat batuan dengan keluasan 299 kilometer persegi (km2).
“Pewartaan pulau-pulau tersebut sebagai Taman Laut Sultan Iskandar di bawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317) ini penting atas beberapa justifikasi berikut, antaranya mengekalkan spesis dan habitat semula jadi hidupan marin.
“Usaha pewartaan ini akan menyumbang kepada pencapaian sasaran yang telah ditetapkan di bawah Sasaran Biodiversiti Aichi, Konvensyen Kepelbagaian Biologi dan Matlamat Ke-14: Kehidupan Di Bawah Air di bawah Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB,” kata beliau pada hari ketiga Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Samsolbari (UMNO-Semarang) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) mengenai apakah usaha kerajaan negen dalam melindungi haiwan-haiwan laut berharga di kepulauan Mersing selain menjadikannya satu kesempatan untuk menarik pelancong ke kawasan tersebut.
Tambah beliau. kawasan Taman Laut Sultan Iskandar kaya dengan batuan dan terumbu karang selain kawasan perairannya turut menjadi laluan penghijrahan utama pelbagai spesies hidupan marin antaranya ialah penyu, lumba-lumba dan dugong.
“Jabatan Perikanan Negeri Johor telah mengenal pasti kehadiran dugong. jerung paus, manta ray dan ikan lumba-lumba di taman laut ini.
“Sekiranya perairan ini diwartakan, hidupan marin di kawasan ini dapat membiak dan berkembang dengan baik tanpa gangguan dan ancaman: tambah beliau.
“Selain itu, sumber ekonomi nelayan juga akan terjamin kerana kawasan habitat dan pembiakan hidupan marin telah dilindungi dan memberikan kesan limpahan sumber penkanan ke kawasan tangkapan.
Tambahan lagi, kehadiran spesis haiwan tersebut dilihat boleh menyumbang kepada sumber pendapatan secara langsung kepada penduduk setempat yang menceburi bidang ekopelancongan berikutan kepelbagaian dan keunikan hidupan marin juga dapat menarik minat pengunjung terutamanya penyelam yang ingin menikmati keindahan di dasar lautan,” kata beliau.
“Penganjuran dan penyediaan program dan fasilitasi golongan perikanan dilihat mampu untuk mentransformasikan fokus penduduk kampung dan nelayan yang amat bergantung kepada aktiviti perikanan kepada penjanaan ekonomi melalui sektor yang bersandarkan kepada kecantikan dan nilai estetika sumber lautan seperti sektor pelancongan, sektor pengangkutan sektor perkhidmatan dan lain-lain,” kata beliau.
Selain itu, usaha pewartaan juga dilihat mampu menangani risiko pencerobohan nelayan asing serta pencerobohan zon perikanan yang merosakkan ekosistem marin selain kawasan pewartaan berpotensi untuk tujuan penyelidikan farmaseutikal dan bioteknologi.
Bernama