KULAI, 12 DIS: Dua lelaki warga Rohingya ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kejadian pecah rumah di Taman Teok Garden, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa, seorang lelaki warganegara Indonesia membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kulai.
“Mangsa memberitahu dia menerima panggilan daripada isterinya yang mengatakan rumah mereka telah dimasuki pencuri pada jam 10.30 malam, kelmarin.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan dua suspek warganegara Rohingya berusia 21 dan 21 tahun beberapa jam selepas kejadi di lokasi berbeza sekitar Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Tambah Beng Yeow, berdasarkan siasatan awal dibuat, kedua-dua suspek mengaku melakukan perbuatan jenayah tersebut.
“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM562, satu beg pinggang, satu resit pajak gadai dan dua resit kedai emas,” ujarnya.
Kedua-dua suspek kini dikenakan tahanan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
JohorKini