JOHOR BAHRU, 19 JAN : Maritim Malaysia menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor telah menahan dua lelaki warga India yang dipercayai sedang bekerja di atas sebuah kelong atau sangkar ikan, pagi semalam.
Mereka yang berumur 22 dan 33 tahun itu ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Kupang, Gelang Patah dalam sebuah Operasi Jaksa yang dijalankan sekitar perairan negeri ini pada kira-kira jam 10.45 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksmana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pemeriksaan terhadap sangkar ikan tersebut oleh anggota bot peronda Maritim Malaysia mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen dan pasport.
“Kedua dua mereka direman selama 14 hari bermula hari ini dan disiasat di bawah peraturan 11(7) peraturan imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua duanya sekali,” katanya.
Tambahnya lagi, sebarang aduan atau maklumat mengenai jenayah maritim salurkan kepada Pusat Operasi di talian 07-2199404, manakala bagi kejadian kecemasan di laut, segera hubungi talian MERS 999.
JohorKini