BM | EN | 中文

Dua syarikat perusahaan mikro di Batu Pahat terima geran KPT untuk hasilkan inovasi

Dua-syarikat-perusahaan-mikro-di-Batu-Pahat-terima-geran-KPT-untuk-hasilkan-inovasi.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 12 SEPT: Dua syarikat perusahaan mikro di Batu Pahat menerima geran Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM61,000 dalam usaha menghasilkan inovasi bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata melalui geran itu syarikat Bio Star Resources dan T&M Mee Siput akan bekerjasama dengan kumpulan penyelidik daripada institusi pengajian tinggi (IPT) selama tempoh enam bulan.

“Bio Star Resources menerima RM27,500 dan akan bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diketuai Prof Madya Dr Nik Hisyamudin Muhd Nor bagi membangunkan mesin memproses Kopi Jambu dan Kopi Padi.

Advertisement

“T&M Mee Siput menerima RM33,500 dan akan bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang diketuai Profesor Ts Dr Aminudin Abu bagi membangunkan mesin membuat mi siput,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata dua syarikat berkenaan merupakan antara pemain industri yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan juga negara melalui penghasilan produk tempatan iaitu kopi Liberica dan mi siput.

Katanya dua syarikat itu juga merupakan antara 13 syarikat dan kumpulan penyelidik yang berjaya mendapat geran PPRN pada tahun ini dalam usaha mengetengahkan model kerjasama strategik antara industri dan akademia.

Advertisement

“PPRN bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara melalui program inovasi yang berpacukan permintaan.

“Dalam hal ini, kementerian bertindak sebagai perantara serta pemudah cara strategik yang menyokong kepada pelaksanaan program atau inisiatif di bawah PPRN,” katanya.

Noraini berharap pelaksanaan projek PPRN itu dapat membantu meningkatkan produktiviti syarikat melalui penghasilan kuantiti dan kualiti kopi dan mi siput yang Iebih balk sekali gus memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Advertisement

Terdahulu beliau menyerahkan surat pemakluman pelaksanaan projek PPRN dan replika cek kepada dua syarikat berkenaan di Batu Pahat.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top