JOHOR BAHRU, 7 MAC: Polis menahan dua lelaki di Taman Indahpura dekat Kulai, petang semalam, yang dipercayai terbabit dalam kes mencederakan seorang lelaki menggunakan sebatang besi sehingga menyebabkan kecederaan parah di sebuah rumah di Taman Aman,dekat Senai, hujung bulan lepas
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kedua duanya yang berumur 31 dan 34 tahun itu ditahan pada pukul 4.45 petang hasil maklumat orang ramal.
Beliau berkata pada 28 Feb lepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berumur 40 tahun, pada pukul 3.39 petang, yang memaklumkan suaminya berusia 49 tahun dipukul dua lelaki di rumah mereka di Taman Aman pada hari berkenaan.
Menurutnya wanita itu mendakwa kedua-dua lelaki itu yang mencari abang suaminya, telah bertindak memukul suaminya sehingga cedera parah di kepala sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kenari.
“Hasil soal siasat kedua-dua lelaki itu mengaku terlibat dalam kes berkenaan. Semakan mendapati seorang daripada mereka memiliki sembilan rekod berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala seorang lagi memiliki dua rekod jenayah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini
Tok berkata ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine, dan kedua-dua penganggur itu kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Bernama