BM | EN | 中文

DUA PROGRAM WANITA JOHOR DIPERKASAKAN DALAM BELANJAWAN 2020

IMG-20191115-WA0009.jpg
Advertisement

 

JOHOR BAHRU, 15 NOV : Dua program utama di bawah portfolio Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperkasakan lagi dalam Belanjawan Johor 2020 yang akan dibentangkan 21 November ini.

Pengerusinya, Liow Cai Tung berkata, program berkenaan adalah Mama Friendly dan juga program bantuan guaman kepada wanita dari kerajaan negeri yang kedua-duanya telah dilaksanakan mulai tahun ini.

Advertisement

“Program ini merupakan produk utama yang akan diperkasakan lagi dalam Belanjawan Johor 2020.

“Bukan itu sahaja, semua jabatan atau agensi di bawah portfolio saya, kesemua program dijalankan terutamanya program keluarga, wanita, warga emas, OKU, kanak-kanak semua program ini juga akan kita perkasakan lagi melalui belanjawan nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Negeri Johor dan Penyampaian Hadiah Akhir Tahun Tabika Kemas Skudai Tahun 2019 di Maydin Mall Mutiara Rini, Skudai, hari ini.

Advertisement

Sebelum ini kerajaan negeri melalui jelajah MARI (Mesra, Aktiviti, Riadah & Informatif) melancarkan talian Helpline Biro Bantuan Guaman inisiatif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) bagi membantu golongan wanita yang memerlukan khidmat kaunseling.

Talian 1300 807 000 itu menawarkan khidmat secara percuma sebagai saluran bagi golongan wanita memerlukan bantuan kaunseling dan informasi.

Bagi program Mama Friendly, kerajaan Johor menyasarkan mewujudkan 30 bilik penyusuan Mama Friendly di seluruh negeri ini menjelang 2020.

Advertisement

Fasa pertama bagi mewujudkan kemudahan itu dijangka dapat dicapai mulai Mei tahun hadapan.

Ditanya sama ada akan ada program baharu yang akan diperkenalkan di bawah belanjawan tersebut, Cai Tung berkata perkara tersebut akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Johor 2020.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top