BM | EN | 中文

Dua PIBG di JB dilapor bantah penggunaan sekolah menengah untuk PRN Johor

Dua-PIBG-di-JB-dilapor-bantah-penggunaan-sekolah-menengah-untuk-PRN-Johor.jpeg

Gambar Ehsan Utusan Online

JOHOR BAHRU: Dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah di daerah ini dilaporkan membantah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan sekolah menengah sebagai pusat undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

Yang Dipertua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas, Mazlan Sulor berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan khususnya daripada golongan ibu bapa.

Katanya, keputusan dibuat SPR itu bukan sahaja memberi risiko kepada masyarakat, tetapi lebih utama kepada pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Kami memang tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan, kerana ia memberi risiko kepada warga sekolah sekiranya wujud kluster baharu Covid-19.

“Sehubungan itu kami mendesak agar wujud campur tangan pihak atasan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelesaikan perkara ini agar wujud situasi menang-menang di mana SPM dan PRN Johor berjalan lancar,” katanya lapor Utusan Online.

Tambah Mazlan, bantahan itu dibuat pihaknya kerana memikirkan masa depan pelajar yang dibimbangi akan terkesan dari sudut emosi sekiranya berlaku penularan atau mereka sendiri dijangkiti.

“Kita bimbang ada antara guru-guru atau pelajar yang menduduki SPM sendiri akan dijangkiti sehingga menyukarkan mereka menduduki peperiksaan, ini pasti akan memberi tekanan emosi kepada mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu pihaknya akan menghantar surat bantahan berhubung perkara itu kepada Pengarah SPR Johor.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PIBG SMK Aminuddin Baki, Shamsudin Baharon pula memberitahu, situasi terkini Covid-19 yang menyaksikan kes baharu tinggi termasuk di Johor menambah lagi kebimbangan pihaknya.

“Kami bimbang kerana apabila sekolah berkenaan dijadikan pusat mengundi, akan ada ramai pihak keluar masuk dalam premis sekolah dan sukar untuk mengenal pasti mana-mana individu yang bergejala. Jadi demi kesejahteraan semua pihak khususnya pelajar-pelajar terlibat adalah penting agar sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin dilaporkan memberitahu SPR telah memilih 151 buah sekolah menengah di Johor akan digunakan bagi PRN ini namun beberapa perkara berkaitan sedang diperincikan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top