BM | EN | 中文

Dua pekerja kelong dilapor terjatuh ke dalam perairan Pulau Tengah

Dua-pekerja-kelong-dilapor-terjatuh-ke-dalam-perairan-Pulau-Tengah.png
Advertisement

SHAH ALAM, 17 SEPT: Dua lelaki warga asing dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika bekerja di kelong KS Aquaculture sekitar perairan Pulau Tengah, Klang, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pihaknya pada 5.10 petang untuk mencari warga Indonesia, Priadi, 34 dan Saw Bearry Htoo, 30, dari Myanmar, yang dikatakan terjatuh kira-kira pada pukul 4 petang.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan dan kali terakhir dilihat memakai baju KS Aquaculture berwarna putih dengan seluar biru sebelum dilaporkan hilang di dalam laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Advertisement

Mohd Rosli berkata operasi CARILAMAT bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru, dimulakan 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot PENGAWAL 26 dan dua luncur jet Maritim, dibantu bot-bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Marin serta komuniti nelayan setempat.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

“Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top