BM | EN | 中文

Dua majikan di Segamat tak miliki perakuan penginapan pekerja dikenakan tindakan

jabatan-tenaga-kerja-ops-446.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 14 JAN: Dua majikan sektor pembuatan di daerah Segamat dikenakan tindakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor menerusi Ops 446 semalam kerana didapati tidak memiliki perakuan penginapan pekerja.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan JTK Johor Abd Kadir Muhamad berkata, majikan untuk syarikat perkayuan dan kitar semula plastik itu, dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24D (1) Akta 446 dan kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan perundangan sewajarnya.

Menurutnya, perakuan penginapan wajib dipohon oleh mana-mana majikan yang menyediakan penginapan, sama ada pekerja tempatan mahupun asing dan majikan boleh membuat permohonan di pejabat JTK daerah yang berdekatan.

Advertisement

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan kita dapati tempat penginapan yang disediakan tidak sesuai dan ada yang perlu diselenggara semula, sebahagiannya juga tidak ada pengaliran udara yang baik, malah majikan juga tidak menjaga kebersihan penginapan serta tidak menyediakan peti kecemasan serta pensanitasi tangan.

“Mereka terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen berkenaan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, operasi berkenaan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 4 petang tadi dengan melibatkan seramai 18 anggota JTK Johor dan enam anggota Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.

Advertisement

Operasi itu, katanya merupakan antara strategi jabatan dalam memastikan penguatkuasaan berterusan, sehingga majikan dan penyedia penginapan berpusat mematuhi sepenuhnya pelaksanaan Akta 446 secara menyeluruh.

Selain penguatkuasaan Akta 446, operasi berkenaan turut melihat sejauh mana pematuhan pemilik kilang terhadap prosedur operasi standard COVID-19, di bawah penguatkuasaan Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia, dalam usaha untuk memutuskan penularan rantaian COVID-19 dalam pekerja pelbagai sektor.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top