BM | EN | 中文

Dua lelaki hilang ketika memancing di Kota Tinggi, dikhuatiri lemas

lemas.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 21 SEPT: Usaha giat dijalankan bagi mencari dua lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika memancing di atas sebuah bot berhampiran Jeti Mados Kampung Air Putih dekat Kota Tinggi, semalam.

Komander Operasi Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata usaha mencari Ramdan Sulaiman, 50, dan Amiruddin Abdul Malik, 53 sedang dilakukan menerusi kaedah pencarian ‘surface searching’ atau pencarian di permukaan air.

Beliau berkata 11 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.47 malam tadi, dan kerja-kerja pencarian dibantu oleh 11 anggota Polis Marin, tujuh anggota polis serta lapan anggota dari Pasukan Penyelamat di Air JBPM Johor.

Advertisement

“Insiden disedari seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi kejadian yang melihat kedua-dua lelaki itu sedang melakukan aktiviti memancing.

“Saksi terdengar jeritan meminta bantuan berhampiran bot dua lelaki itu sebelum kedua-duanya hilang daripada pandangan,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Al Hasra berkata jarak bot dari jeti itu dianggarkan 400 meter dengan kedalaman air 15 meter dan penyelaman dilakukan pada radius 100 kaki dari lokasi kedua-dua mereka dilaporkan hilang.

Advertisement

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan pencarian turut dibantu nelayan setempat.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top