JOHOR BAHRU, 22 Mac – Dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan aktiviti mencuri kabel elektrik, ditahan di Taman Ria, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Suhaimi Ishak berkata, kedua-dua lelaki berusia sekitar 30-an itu, ditahan ketika cuba melarikan diri dari pihak polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar Jalan Cenderai 17, Taman Megah Ria, dekat Masai, kira-kira pukul 3 petang.
“Pemeriksaan ke atas kedua suspek, menemui tiga gelung kabel elektrik yang telah dipotong dan peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan mencuri itu termasuk penukul, pemotong kabel, spanar boleh laras dan pisau.
“Satu paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu turut dirampas dari suspek dan saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Suhaimi berkata, siasatan awal ke atas kedua suspek mendapati kabel tersebut dicuri di sebuah kilang di kawasan perindustrian Taman Kota Puteri
Beliau bagaimanapun berkata jumlah berat, nilai rampasan, serta motif dan tujuan mencuri kabel berkenaan, masih dalam siasatan.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hukuman penjara maksimum tujuh, atau denda atau penjara dan denda boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 379, manakala bagi Seksyen 12(3) ADB pula suspek boleh dikenakan hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun
Suspek kiri direman selama empat hari bermula semalam dan berakhir Rabu ini (24 Mac),” katanya.
Bernama