JOHOR BAHRU, 13 APRIL: Dua lagi tekong warganegara Indonesia beserta 23 migran ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan Sabtu lalu di kawasan hutan Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua mereka ditahan pada jam 7 petang.
Menurut beliau, ketika serbuan dibuat, mereka dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke Indonesia.
“Dua tekong yang ditahan berusia 28 dan 39 tahun, manakala 23 migran yang ditahab berusia antara 20 hingga 49 tahun.
“Serbuan ini dibuat ekoran soal siasat dijalankan terhadap dua orang tekong yang sebelum ini ditahan pada 8 April lalu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan, di sini hari ini.
Tambah beliau, sindiket tersebut dipercayai telah bergiat aktif dengan kegiatan penyeludupan migran sejak kira-kira tiga bulan lalu.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas dua buah telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM4,000 dan 1.95 juta rupiah.
“Dua tekong tersebut ditahan reman selama 28 hari bermula semalam, manakala 23 migran ditahan dikenakan reman 14 hari juga bermula semalam,” ujarnya.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 26(A) ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu pihaknya telah mengenalpasti lebih ramai suspek terdiri daripada pegawai agensi penguatkuasaan yang terlibat menjadi dalang kegiatan jenayah ini.
“Saya beri amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah,” tambahnya.
Johorkini