BM | EN | 中文

Dua kapal tangki tiada dokumen insuran ditahan di perairan Johor Timur

Agensi-Penguatkuasaan-Maritim-Malaysia-APMM.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 OGOS: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua kapal tangki di perairan Johor Timur pagi semalam, kerana didapati tidak memiliki polisi insuran maritim yang ditetapkan.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal itu ditahan pada pukul 10.10 pagi di kedudukan kira-kira 8.9 batu nautika, timur Tanjung Penawar.

Katanya, tindakan tersebut diambil selepas kapal peronda Maritim Malaysia, mengesan kedua-dua kapal berkenaan sedang merapat antara satu sama lain, dalam keadaan mencurigakan.

Advertisement

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati, kedua-dua kapal tangki itu dikendalikan oleh lelaki warga Indonesia sepenuhnya, dengan sebuah kapal dikendalikan enam lelaki berumur antara 24 hingga 47 tahun, manakala sebuah lagi kapal dikendalikan oleh lapan lelaki berusia lingkungan 30 hingga 44 tahun.

“Kedua-dua kapal didaftarkan di Malabo, Equatorial Guinea, namun didapati gagal mengemukakan polisi insurans apabila diperiksa dokumentasi dan dengan itu, telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 dan Seksyen 338A (3) OPS 1952, kerana tiada dokumen berkaitan polisi Insurans maritim, serta Seksyen 491B(1) (l) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman Pengarah Laut,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kesalahan di bawah Seksyen 338A(3) memperuntukkan denda tidak kurang RM 200,000 dan tidak lebih RM 500,000 bagi setiap kesalahan, manakala Seksyen 361(1) OPS 1952 memperuntukkan denda maksimum tidak lebih RM100,000.

Advertisement

Katanya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius terhadap isu pematuhan undang-undang, dengan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara, khususnya perairan Johor Timur.

Sehubungan itu, pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan agar memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan ditetapkan, untuk melakukan sebarang aktiviti.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top