BM | EN | 中文

Dua kapal tangki ditahan lakukan pelbagai kesalahan

kapal-tangki-e1581496117446.jpg

Kapal tangki berjaya ditahan APMM ZMTS kerana melakukan pelbagai kesalahan di perairan Johor Timur di sini, semalam.

KOTA TINGGI, 12 FEB : Dua kapal tangki berjaya ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) kerana melakukan pelbagai kesalahan di perairan Johor Timur di sini, semalam.

Pengarah ZMTS, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal tersebut dikesan sedang merapat antara satu sama lain oleh kapal peronda Maritim Malaysia di kedudukan 3.5 batu nautika Selatan Tanjung Penyusop pada jam 3.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebuah kapal dikendalikan 11 lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 25 hingga 54 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan empat lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 28 hingga 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal yang berdaftar di Mongolia itu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 49(3) Akta Kastam 1967 kerana vesel merapat tanpa kebenaran Jabatan Kastam DiRaja Malaysia.

“Kapal berkenaan turut melakukan kesalah di bawah Seksyen 72 (2) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana kru tidak mencukupi seperti Safe Manning Certificate.

“Seksyen 491B(L) OPS 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa pemakluman atau kelulusan Ketua Pengarah Laut Malaysia dan Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen Insurans,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau keduanya bagi Seksyen 49(3) Akta Kastam 1967.

Denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952.

Manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 72(2) OPS 1952 boleh didenda sehingga RM100,000 dan Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM500,000.

Tegasnya, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan akan sentiasa mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan untuk sebarang aktiviti demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top