JOHOR BAHRU, 7 OKT : Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan mengumumkan dua inisiatif baharu untuk pembangunan Persatuan Mahasiswa Anak Johor di Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.
Menurutnya, inisiatif pertama adalah bantuan dana pengurusan berjumlah RM44,000 kepada 22 buah Persatuan Mahasiswa Anak Johor.
“Persatuan merupakan landasan terbaik untuk merencana dan menganjurkan aktiviti serta program ke arah pembangunan taraf hidup masyarakat Johor khususnya.
“Persatuan juga mampu memupuk semangat patriotisme terhadap negeri dan negara serta bersedia menyumbang khidmat bakti serta menjadi pengantara, penghubung dan membawa suara belia mahasiswa ke peringkat tertinggi.
“Justeru, dana ini bertujuan membantu pemimpin mahasiswa Johor untuk mengurus dan memajukan persatuan mahasiswa anak Johor di kampus masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Bengkel Perancangan Strategik Persatuan Mahasiswa Anak Johor IPT di Mandarin Court Hotel, Kuala Lumpur, kelmarin.
Bengkel berkenaan diadakan Jumaat hingga semalam adalah usaha sama pihak Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan para mahasiswa.
Ia bertujuan untuk memberi pendedahan pengurusan organisasi dan perancangan strategik program-program pembangunan mahasiswa sepanjang tahun hadapan.
Tambahnya, inisiatif kedua ialah mengadakan satu persidangan pemimpin mahasiswa Johor bersama Exco Pendidikan Johor sebelum akhir tahun ini.
“Diharapkan melalui persidangan ini, masalah birokrasi di antara mahasiswa dan kerajaan negeri dapat dikurangkan.
“Selain itu, saya juga mengharapkan mahasiswa Johor dapat memanfaatkan persidangan untuk mewujudkan hubungan terus dengan Exco Pendidikan Johor,” katanya lagi.
Johorkini