BM | EN | 中文

Dua cedera, bas persiaran rempuh tiga kereta dekat Bandar Dato Onn.

Dua-cedera-bas-persiaran-rempuh-tiga-kereta.jpeg

Gambar Ehsan Karangkraf

JOHOR BAHRU – Dua lelaki cedera selepas kereta dipandu mereka dirempuh sebuah bas persiaran dalam satu kejadian di kilometer (KM) 37, Lebuh Raya Selatan Susur Bandar Dato Onn di sini semalam.

Dalam kemalangan itu, mangsa berusia 38 tahun memandu kereta jenis Proton Saga manakala, seorang lagi mangsa, berusia 47 tahun memandu kereta BMW.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II, Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi.

Sinar Harian melaporkan, seramai tujuh anggota dengan bantuan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah digegaskan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan empat kenderaan iaitu sebuah bas persiaran, kereta jenis Proton Saga, kereta BMW dan sebuah kereta Perodua Myvi.

“Kejadian juga dipercayai berlaku apabila bas persiaran telah merempuh tiga buah kenderaan itu sekali gus mengakibatkan dua mangsa mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Khairul Azhar berkata, dalam perlanggaran tersebut, tiada penumbang di dalam bas persiaran itu. Bas itu juga telah dialihkan selepas pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

“Dalam kemalangan ini, pemandu Proton Saga telah tersepit di bahagian kaki di bawah kereta namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam di lokasi.

“Kedua-dua pemandu kemudiannya diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top