BM | EN | 中文

Dua beradik ditahan dipercayai terlibat 16 kes samun di Segamat

polis-jenayah.jpg

JOHOR BAHRU, 24 OGOS: Polis menahan dua lelaki tempatan di Segamat dan Pasir Gudang, malam tadi, kerana dipercayai terlibat dengan sekurang-kuranganya 16 kes samun di sekitar Segamat, sejak tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata kedua-dua adik-beradik berumur 31 dan 35 tahun itu ditahan pada 11.30 malam, hasil risikan dan operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

“Pada tahun lepas dan tahun ini, terdapat 16 kes samun berlaku di sekitar bandar Segamat, Labis, Chaah, Jementah dan Batu Anam, yang dipercayai melibatkan kedua-dua beradik berkenaan.

Modus operandi mereka adalah memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dengan cara mengumpil pintu dan setelah berjaya masuk ke dalam rumah, mereka bertindak mengambil pisau atau parang dan melakukan samun ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata hasil penahanan mereka, polis merampas dua rantai leher, empat cincin, sepasang anting-anting, sepasang loket, 17 telefon bimbit pelbagai jenama, 22 keping resit pajak gadai serta tujuh jam tangan pelbagai jenama.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua beradik itu mempunyai rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan curi kenderaan.

Katanya kedua-dua mereka kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

“Hasil tangkapan terhadap kedua-dua mereka, polis percaya berjaya menyelesaikan 16 kes samun di Daerah Segamat dan sehubungan itu, polis menyarankan orang awam supaya menyalurkan apa-apa maklumat berkaitan jenayah di sekitar Segamat kepada polis di talian 07-2254074,” katanya.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top