BM | EN | 中文

Dua bekas pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Johor dituduh menipu

Dua-bekas-pegawai-Bahagian-Pendidikan-JAINJ-dituduh-menipu.png

JOHOR BAHRU, 26 OGOS: Seorang bekas timbalan pengarah dan seorang bekas pegawai Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu seorang pemilik sebuah syarikat pencetakan buku membabitkan kerugian RM100,000 pada 2016.

Mohd Nasir Amir, 58, yang berdepan tiga pertuduhan dan Mohd Fauzi Arshad, 52, menghadapi satu pertuduhan, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Mohd Nasir didakwa menipu seorang pemilik syarikat percetakan sehingga dengan curangnya mendorong pemilik berkenaan menyerahkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM50,000 sebagai sumbangan kepada Badan Kebajikan Bahagian Pendidikan, JAINJ.

Mohd Nasir didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan tersebut di dua restoran di Pandan Uptown dan Taman Desa Tebrau di sini, antara 7.30 malam dan 11.30 malam, antara 29 Feb dan 30 Sept 2016.

Mohd Fauzi pula, didakwa memperdaya pemilik syarikat sama, sehingga dengan curangnya mendorong pemilik syarikat tersebut untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM50,000 bahawa bayaran terbabit merupakan bayaran royalti penulis-penulis Buku Latihan Aktiviti (BLA) keluaran Persatuan Guru Agama Negeri Johor.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Islam Iskandar di sini, antara 8.30 pagi dan 5.30 petang, antara 18 April dan 20 April 2016.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin.

Terdahulu, Lim memohon satu jaminan yang tinggi sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan amat berat.

Bagaimanapun, Rosli merayu jaminan dikurangkan memandangkan kedua-duanya mempunyai tanggungan dengan anak yang masih bersekolah selain memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Kamarudin kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain menetapkan 29 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Kamarudin turut memerintahkan mereka melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top