BM | EN | 中文

DR SAHRUDDIN: INTEGRASI KAUM RAMUAN KEJAYAAN MASYARAKAT MAJMUK

INTEGRASI-KAUM-RAMUAN-KEJAYAAN-MASYARAKAT-MAJMUK.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 31 OGOS: Menteri Besar, Datuk Dr Sahrudin Jamal dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri hari ini menyeru semua pihak di Johor agar mewujudkan kesefahaman sesama kaum melalui program integrasi peringkat akarumbi.

Katanya, integrasi antara kaum adalah asas bagi mengukuhkan bangsa Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik keturunan sekaligus menjadi kekuatan masyarakat majmuk di negara ini.

“Integrasi antara kaum adalah penting demi permuafakatan rakyat Malaysia. Malaysia mampu mencapai kemajuan tersendiri melalui perpaduan negara, kesepaduan sosial, kestabilan politik, nilai kualiti kehidupan, nilai-nilai sosial dan yakin dengan kekuatan kendiri.

Advertisement

“Marilah kita mendaulatkan integrasi antara kaum yang menjadi kekuatan masyarakat majmuk.

“Program-program kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai bangsa perlu diperbanyakkan, kerana semakin banyak interaksi di antara kaum, semakin utuh perpaduan rakyat Malaysia,” katanya dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Bandaraya pagi tadi.

Sahrudin juga mengingatkan agar rakyat Johor memanfaatkan penggunaan medium baharu dengan penuh rasa tanggungjawab.

Advertisement

Katanya, kemunculan medium baharu di alam siber telah membawa budaya penyebaran tanpa tapisan dan kesahihan sumber maklumat.

Justeru, pertelingkahan dan perbalahan boleh berlaku sekiranya kiriman di laman sosial dibuat tanpa batas dan bukti, yang kadangkala lebih disertai dengan niat untuk menghentam.

“Dalam hal ini, rakyat perlu lebih peka dan berwaspada dalam menerima segala informasi yang di paparkan di media sosial. Mereka tentunya sengaja memainkan sentimen tertentu untuk meraih kepentingan peribadi mahupun politik.

Advertisement

“Perbuatan seumpama ini mengakibatkan ketidakstabilan perpaduan dan jika tidak dikekang akan memberi impak negatif kepada ekonomi serta imej Malaysia sebagai sebuah negara.

“Tidak pasti, jangan kongsi,” pesannya.

Dalam pada itu, Sahrudin yang juga Adun Bukit Kepong mengingatkan kepada golongan muda untuk terus menghargai kemerdekaan dan terus mengekalkan keamanan.

Advertisement

“Kemerdekaan yang telah dicapai ini memerlukan roh dan jasad patriotik yang cintakan Malaysia.

“Sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan kesejahteraan, marilah kita sentiasa berikrar untuk memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada agama, bangsa dan negara.

“Kepada anak muda, bersyukur dan hargailah nikmat kemerdekaan ini,” kata Sahruddin.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top