KLUANG, 30 OKT: Sebanyak 22 komputer riba diserahkan kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) oleh ahli parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik melalui projek ‘Laptop For Siswa’ yang dianjurkannya sebelum ini,
Menurut beliau, anak-anak mahasiswa Simpang Renggam ini merupakan para penuntut di menara gading dari pelbagai universiti dalam negara.
“Pejabat saya telah mensasarkan 20 penerima untuk Projek Laptop For Siswa baru-baru ini.
“Syukur Alhamdulillah, kita dapat sumbangan lebih daripada sasaran iaitu sebanyak 22 laptop telah disampaikan kepada anak-anak siswa Simpang Renggam.
“Dalam keadaan sekarang, mereka bergelut untuk meneruskan sesi pengajian dalam talian seperti yang dilaksanakan universiti,” kata Dr Maszlee dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penularan Covid-19 yang semakin meningkat dalam keadaan situasi pelajar yang kurang berkemampuan, sumbangan dari pelbagai pihak terhadap projek itu diharap mampu meringankan beban keluarga dan memudahkan para pelajar mengikuti proses pembelajaran.
“Mewakili rakyat Simpang Renggam, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang bagi projek ini.
“Besar jasa anda kepada anak-anak siswa dan pendidikan anak bangsa kita,” katanya lagi.
Johorkini