BM | EN | 中文

Dr Maszlee Malik bentang kad laporan Sidang Parlimen 2020

kad-laporan-Maszlee-Malik.jpg

KLUANG, 4 OGOS: Ahli parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menjadi ahli parlimen yang pertama membentangkan ‘kad laporan’ sidang parlimen 2020 bagi bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik ke laman facebook beliau semalam, bekas menteri pendidikan itu berkata, semalam genap seminggu sidang parlimen Dewan Rakyat selesai.

“Bagi sepanjang 25 hari persidangan ini, pelbagai isu dan permasalahan telah saya ketengahkan.

“Sebahagiannya untuk kepentingan rakyat Simpang Renggam, dan bakinya adalah untuk keperluan rakyat dan negara.

“Saya bawakan isu-isu ini melalui kesemua medium Dewan Rakyat iaitu soalan jawab lisan dan bukan lisan, perbahasan Titah Diraja, Kamar Khas, Waktu Pertanyaan Menteri dan soalan tambahan atau celahan sepanjang sidang berlangsung.

“Ada yang dijawab dan diterangkan pihak bertanggungjawab dengan baik dan komitmen.

“Tetapi ada juga sebahagian jawapan yang menurut saya memerlukan penjelasan lanjut dan akan saya bawa pada sesi yang berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan itu, Dr Maszlee hadir 24 daripada 25 hari persidangan dengan satu perempat daripada soalan yang dibenarkan telah dihantar.

Beberapa isu dibangkitkan beliau antaranya isu pembangunan luar bandar, isu 1Bestarinet dan YTL dan status Akta Institusi Pengajian Tinggi.

Bagi waktu pertanyaan menteri, dua isu yang dibangkitkan isu Kualiti Graduan PSMP dan Partial Recognition EWC.

Dr Maszlee turut mengemukakan isu pemisahan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), status JKD, polisi penolakan sifar, pemansuhan AUKU, isu cuti guru, reformasi Akta 605 dan isu dasar luar negara ‘two state solution’ melibatkan konflik Palestin-Israel.

Beliau turut melampirkan sepuluh soalan lisan dan lima soalan bukan lisan kepada Menteri dan Tmbalan Menteri, selain celahan-celahan dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Dr Maszlee dalam pada itu turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan pihak pentadbiran atas kelancaran persidangan kali ini.

“Saya bukanlah siapa-siapa jika bukan kerana rakyat. Suara rakyat suara keramat!,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top