BM | EN | 中文

Dr Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq antara lima dipecat Bersatu

5_bersatu_dipecat.jpg

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presidennya, Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman antara lima yang dipecat daripada parti itu.

Berdasarkan surat pekeliling yang tersebar di laman sosial hari ini, kelima-lima mereka “dihentikan keahlian serta merta” atas alasan duduk di blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Surat berkenaan ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Dua pemimpin lain yang turut dipecat adalah anggota Majlis Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Dr Mahathir merupakan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, manakala Mukhriz merupakan timbalan presiden parti itu.

Menurut surat berkenaan, keputusan dibuat berdasarkan artikel 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu yang menyatakan status individu sebagai anggota akan dihentikan serta-merta sekiranya didapati menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan parti atau secara rasmi bergabung dengan parti politik lain.

Bersatu berpecah selepas ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai majoriti pemimpinnya membentuk Perikatan Nasiona (PN).

Sejak itu khabar angin mengenai rancangan menyingkirkan Mahathir dan penyokongnya berlangsung sejak awal bulan ini dengan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu – yang kemudian ditangguhkan – dipercayai akan menyokong keputusan itu.

Mahathir kemudiannya merancang melakukan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan duduk di bangku pembangkang bersama empat anggota Parlimen Bersatu yang lain semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Terdahulu pada 17 Mei, Mukhriz terpaksa meletakkan jawatan Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta apabila hilang kepercayaan majoriti Adun melalui undian sulit di hadapan Sultan Kedah yang dibuat pada 16 Mei.

Lanjutan itu, berlaku peralihan kuasa kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah kepada Perikatan Nasional (PN), selain kedudukan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut gugur.

Ia berpunca dari tindakan dua ADUN dari PKR yang meninggalkan PH menyebabkan hilangnya majoriti pada gabungan Bersatu dan PH.

Empat Adun Bersatu kemudiannya menyertai PN, menyebabkan PN mempunyai 23 kerusi berbanding 13 dari PH termasuk dua dari Bersatu.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top