BM | EN | 中文

DPMM laksana program pemudahcara hutang, kurangi beban masyarakat

Dewan-Perniagaan-Melayu-Malaysia-DPMM.png
Advertisement

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memperkenalkan Program Pemudah Cara Keberhutangan bagi memudah dan mengurangkan beban tanggungan hutang masyarakat.

Presidennya Dr Abd Halim Husin berkata melalui program itu, antaranya disarankan pembayaran balik oleh peminjam hendaklah diterima walaupun RM1 sehari atau RM30 sebulan.

Selain itu, baki hutang yang pokoknya hanya tinggal 20 peratus daripada jumlah hutang boleh dilangsaikan dalam tempoh tiga bulan tanpa dikenakan sebarang bayaran keuntungan, penalti, denda atau apa-apa caj perkhidmatan.

Advertisement

Program berkenaan yang mendapat kerjasama Bank Negara, institusi kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia akan menjelajah ke 32 daerah seluruh negara bermula bulan ini.

“Kami akan memulakan jelajah ke lima daerah iaitu Putrajaya, Muar (Johor), Seremban 2 (Negeri Sembilan) pada 17 Okt, Melaka Tengah pada 19 Okt, dan Sungai Petani (Kedah) pada 21 Okt dengan sasaran kehadiran 200 hingga 500 peserta bagi setiap daerah,” katanya kepada Bernama di ibu pejabatnya di Bukit Damansara di sini.

Selain itu, program tersebut dilaksanakan untuk membantu usahawan atau peniaga dalam pengurusan hutang semasa moratorium bersasar dimulakan bagi tempoh Oktober hingga Disember; membantu peminjam daripada lapisan masyarakat tentang kesedaran membayar hutang; dan membantu perundingan penyelesaian atau penstrukturan hutang peminjam.

Advertisement

“DPMM bercadang untuk membantu semua lapisan masyarakat dalam hal keberhutangan dengan memainkan peranannya sebagai pemudah cara.

“Kami menjadi pemudah cara perbincangan antara penghutang dan pemiutang secara langsung. Kami juga berperanan sebagai pemudah cara program pembiayaan dan penjadualan semula pinjaman (R&R),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DPMM Amirhamzah Karim memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengesahkan pelucutan serta-merta 12 ahlinya selepas didapati melanggar Fasal 8.12.5 Undang-Undang dan Perintah Peraturan DPMM, iaitu membawa apa jua perkara berkenaan dengan keahlian atau Dewan ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan Dewan.

Advertisement

Mengulas lanjut, beliau berkata kesemua 12 ahli bertindak sedemikian susulan ketidakpuasan hati kerana tidak terpilih memegang apa-apa jawatan semasa mesyuarat agung tahunan DPMM ke-54 pada 26 Feb lalu.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top