KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Subsidiari milik penuh Dagang NeXchange Bhd (DNeX), Dagang Net Technologies Sdn Bhd telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Islam Johor Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings) bagi memanfaatkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam rantaian pembekalan halal.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan melalui kerjasama itu, Dagang Net dan PIJ Holdings akan berusaha untuk membangunkan sistem Blok Rantai Pensijilan Halal Johor, yang merangkumi pemupukan teknologi Blok Rantai dalam permohonan dan pengesahan halal serta sijil perkahwinan.
Kerjasama itu juga akan meninjau ke dalam pembangunan dan pelaksanaan platform Hab Halal Digital serta e-Dagang Halal yang akan beroperasi dalam ekosistem yang dipacu data secara intensif, kata DNeX.
“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan PIJ Holdings dalam mengguna pakai teknologi-teknologi distruktif yang boleh menjadi pemacu utama pertumbuhan rantaian pembekalan halal di Johor dan perniagaan dalam segmen halal,” kata Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX Datuk Samsul Husin, yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Dagang Net.
Sementara itu, Pengarah Urusan PIJ Holdings Muhammad Fuad Radzuan berkata, syarikat mempunyai tanggungjawab bagi memperkasakan sosio ekonomi masyarakat Islam dan membantu mereka dalam mencari potensi nilai ekonomi digital.
“Kami perlu merealisasikan nilai potensi ekonomi digital dan seterusnya mencapai agenda kami iaitu bagi mengubah negeri ini supaya selaras dengan pembangunan ekonomi digital dan revolusi industri keempat,” katanya.
PIJ Holdings yang merupakan sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Johor, turut terlibat dalam pelbagai perniagaan lain seperti penternakan dan pertanian, pembangunan hartanah, perkilangan, utiliti, minyak & gas, pembangunan industri halal serta pengurusan waqaf.
DNeX adalah sebuah pembekal terkemuka bagi ePerkhidmatan untuk kemudahan perdagangan dan mempunyai kepakaran serta pengetahuan dalam penyediaan perkhidmatan digital bagi kemudahan perdagangan, teknologi siber, perundingan serta keselamatan maklumat.
Ia juga sedang mencipta kejayaan dalam sektor minyak & gas termasuk tenaga.
Bernama