KLUANG, 16 DIS : “Diwan Reformasi bukan sahaja setakat latihan mencungkil bakat kepimpinan dan kefahaman politik, malah menawarkan kemahiran media dan teknologi digital kepada umum,” demikian kata Pelatih Program Diwan Reformasi, Yusuf Al Siddique.
Menurut Yusuf, asas program bengkel ini merupakan latihan kepimpinan dan celik politik melalui beberapa modul.
“Melalui modul yang ditetapkan, terdapat pelbagai kemahiran asas yang diperlukan setiap individu tanpa mengira latar politik” katanya kepada Johorkini di Bengkel Kepimpinan Jingga 13 anjuran Diwan Reformasi, di sini semalam.
“Misalnya fokus latihan di Kluang kali ini ialah mengenai media dan teknologi serta memahami konsep propaganda dan retorik di media sosial.
“Peserta juga didedahkan dengan kaedah membuat filem pendek dari proses merakam dan menyunting menggunakan telefon pintar,” katanya.
Tambah Yusuf lagi, oleh sebab bengkel ini menawarkan latihan dengan kemahiran yang pelbagai, kebanyakan yang datang ke program ini bukan sahaja sukarelawan parti dan aktivis politik sahaja, malah dari pelbagai latar belakang.
“Antara golongan yang banyak terlibat ialah peniaga kerana modul kemahiran yang disediakan memahami keperluan mereka seperti teknik pengiklanan dan penggunaan media sosial,” katanya lagi.
Diwan Reformasi merupakan inisiatif yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini sebagai usaha pembangunan modal insan yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
JohorKini