PASIR GUDANG, 10 OGOS: Pemberian dividen melebihi enam peratus kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sesuatu yang ‘mencabar’ kata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Katanya, sasaran pelaburan KWSP adalah untuk mengisytihar dividen pada kadar tidak kurang 2.5 peratus setahun, iaitu sasaran statutori bagi simpanan konvensional.
Manakala bagi menambah nilai simpanan ahli, KWSP mensasarkan kadar dividen purata tiga tahun bergerak sebanyak 2 peratus melebihi kadar inflasi.
“Untuk memastikan KWSP boleh mendapai sasaran strategik tersebut, pelaburan KWSP mempunyai strategi pelaburan jangka panjang berpandukan kepada Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memperuuntukkan aset secara optimal dengan mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai sebuah dana simpanan persaraan.
“SAA ini dikaji semula setiap tiga tahun bagi memastikan jangkaan pulangan dan risiko adalah relevan dengan situasi dan keadaan pasaran modal semasa, perubahan polisi regulatori, perakaunan dan bekalan aset di pasaran,” kata Tengku Zafrul.
Beliau berkata demikian dalam soalan bertulis Hassan Karim (Pasir Gudang – PH) pada 3 Ogos berhubung langkah-langkah pelaburan strategik KWSP untuk memastikan badan itu memberi dividen yang lebih tinggi kepada pencarum, terutamanya kaum pekerja.
Dalam pada itu kata Tengku Zafrul, berikutan persekitaran ekonomi dan pasaran modal yang semakin tidak menentu selain kelembaban ekonomi yang menyaksikan Rizab Persekutuan AS memotong kadar faedah sebanyak tiga kali pada 2019 dan dua kali pada Mac 2020.
“Bank Negara Malaysia turut menurunkan Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak lima kali sejak Mei 2019 susulan pertumbuhan ekonomi negara yang perlahan serta persekitaran pasaran global yang mencabar.
“Ketidaktentuan pasaran ini dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti perang dagangan AS-China yang berterusan, ketidastabilan geopolitik di India, Hong Kong dan Timur Tengah yang berlarutan.
“Terkini, ancaman virus COVID-19 yang semakin meruncing di peringkat antarabangsa. Ketidaktentuan ini menyumbang kepada kemerosotan pasaran saham dunia termasuk Malysia.
“Indeks saham utama FBMKLCI telah merosot sebanyak 6 peratus pada 2019 dan terkini, teah jatuh sebanyak 5.5 peratus setakat bulan Jun 2020,” katanya.
Tambah beliau, kemerosotan pasaran saham domestik, serantau dan global serta persekitaran kadar faedah yang rendah bermakna pendapatan pelabran KWSP daripada pelaburan Ekuiti dan Instrumen Berpendaparan Tetap akan terjejas.
“Seterusnya memberi cabaran kepada KWSP untuk memberi dividen lebih tinggi. Namun, KWSP komited untuk terus berusaha memberi pulangan yang optimal kepada para pencarum,” katanya.
Johorkini