JOHOR BAHRU, 8 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin yang dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara dengan melalui kawasan tidak diwartakan.
Pengarah ZMTS, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kesemua 14 warga Indonesia tersebut ditahan pihaknya di pesisir pantai berhampiran Desaru, di Kota Tinggi, malam tadi.
Kesemua mereka, yang terdiri dari lapan orang lelaki dan enam wanita berumur diantara 21 dan 48 tahun, ditahan ketika sedang menunggu bot bagi membawa mereka keluar dari Malaysia.
“Serbuan dilakukan ketika kesemua mereka sedang bersiap untuk bergerak keluar daripada Malaysia di pesisir pantai berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Desaru, Kota Tinggi,” katanya Mohd Zulfadli, dalam satu kenyataan, disini, hari ini.
Mohd Zulfadli turut berkata pihaknya juga mengesyaki kesemua pendatang asing tanpa izin itu ditinggalkan sindiket yang cuba menyeludup mereka keluar, dipercayai berpunca dari sindiket tersebut mengesan kehadiran pihak berkuasa, dengan bantuan beberapa lelaki yang kelihatan di pesisiran pantai tersebut.
Katanya beberapa lelaki di tepi pantai itu disyaki tekong darat yang mengatur ketibaan bot dan mereka mereka bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Zulfadli turut menambah kesemua pendatang asing tanpa izin itu akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 iaitu cuba keluar dari Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sumbere: Bernama