JOHOR BAHRU, 11 OGOS: Datuk Bandar Johor Bahru, Adib Azhari Daud direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.
Malaysiakini melaporkan, perintah reman ke atas pegawai kanan berusia 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Permohonan reman itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Adib dilihat memakai baju lokap SPRM dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret pada kira-kira 9 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Semalam, Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias mengesahkan penahanan berkenaan.
Semalam, media melaporkan SPRM Johor dilaporkan menahan seorang pegawai kanan kerajaan itu pada pukul 3 petang di Ibu Pejabat SPRM Johor.
Sumber memaklumkan, suspek yang ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat itu disyaki menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP sewaktu menjadi Datuk Bandar.
Suspek yang kini bertugas di MBJB ditahan ketika hadir memberikan keterangan bagi membantu siasatan yang dijalankan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika dia memegang jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri antara Nov 2017 hingga Nov 2019.
Johorkini